Ragbi Poly 10’S: 53 pasukan bakal berentap

Cetak
User Rating:  / 0
PoorBest 

hebah-ragbi-1

SEBANYAK 53 pasukan dari seluruh negara bakal berentap bagi memburu kejuaraan dalam Kejohanan Ragbi Poly 10’s Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2020 di Politeknik Merlimau Melaka (PMM).

Kejohanan pada 18 dan 19 Januari ini bagi membangunkan sukan ragbi dalam kalangan IPT selari dengan Dasar Sukan IPT untuk melahirkan atlet serba boleh dalam sukan dan akademik.

Penganjuran edisi kelapan ini membawa 22 pasukan politeknik, 16 mewakili Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S), sembilan pasukan wanita dan enam pasukan sekolah menengah bawah 18 tahun.

Pengarah kejohanan, Sharifudin Mohd Yusof berkata,kejohanan kali ini menjanjikan saingan sengit kerana banyak pasukan ragbi tempatan berpengalaman mengambil bahagian.

“Kita harap saingan kali ini mampu menarik ramai peminat selain membantu membangunkan sukan ragbi di pentas institusi pengajian tinggi dan di peringkat sekolah.

“Antara cabaran besar kejohanan kali ini ialah aspek pengurusan kerana jumlah perlawanan yang banyak berjalan pada satu-satu masa, selain perlu memastikan kebajikan setiap pasukan dapat dijaga,” katanya.

Dari sudut pasukan katanya, sudah tentu cabaran mereka dalam merebut kejuaraan terutama bagi pasukan yang bergelar juara bertahan bagi edisi sebelum ini.

“Antara pasukan yang telah sahkan penyertaan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Pengurusan Sultan Idris (UPSI), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Bangi dan Kolej Profesional Air Molek Melaka.

“Selain Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Vokasional Melaka Tengah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Masjid Tanah, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Menengah Tuanku Muhamad Kuala Pilah dan beberapa Institut Perguruan (IPG),” katanya.